GUADALAJARA: Kapten Korea Selatan, Son Heung-min, menjadi sasaran kritikan pemerhati bola sepak tempatan meskipun pasukan itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia FIFA 2026.
Perlawanan di Estadio Guadalajara, Mexico itu menyaksikan skuad Taegeuk Warriors meraih tiga mata menerusi jaringan Hwang In-beom pada minit ke-66 dan gol kemenangan oleh Oh Hyeon-gyu pada minit ke-79.
Korea Selatan turut menerima sokongan padu daripada penyokong tempatan di Mexico, sekali gus mencetus suasana meriah sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, persembahan Son, 33, sepanjang 69 minit sebelum dikeluarkan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penganalisis.
Pemain kelab Los Angeles FC (LAFC) itu dikritik kerana kurang memberikan impak di bahagian serangan, walaupun mencatat empat percubaan dengan satu daripadanya tepat ke sasaran.
Pemerhati sukan berpandangan aksi Son kelihatan tenggelam berbanding standard biasanya, selain dikekang disiplin benteng pertahanan Republik Czech yang kompak.
Di sebalik kritikan itu, ketua jurulatih Hong Myung-bo mempertahankan pemainnya, dengan menyatakan kehadiran Son memberi sumbangan taktikal penting dalam membuka ruang kepada rakan sepasukan.
Korea Selatan kini berada di tangga kedua Kumpulan A dan dijadual menentang Mexico di venue sama pada 18 Jun jam 7 malam (19 Jun, 9 pagi waktu Malaysia).