NATIONAL
Buruh mengaku salah culik budak, curi kereta bapa mangsa

Jasri Ismail dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
BUTTERWORTH: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Jasri Ismail, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menculik mangsa daripada jagaan bapanya berusia 42 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang kira-kira jam 8.20 malam, 30 Mac lalu.Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, dan jika didapati bersalah, boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kereta jenis Honda BRV milik bapa mangsa, di lokasi dan waktu sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga tujuh tahun dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazliyana Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi Mat@Ahmad.
Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Kes akan disebut semula 30 April depan bagi fakta kes dan menjatuhi hukuman.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama kanak-kanak lelaki autistik dari tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena.
Lelaki itu ditahan bersama mangsa dan kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami