Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 20 sebatan selepas didapati bersalah atas tiga kesalahan merogol anak kandungnya berusia 13 tahun.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani, M. Vijayalakshmi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anaknya beberapa kali iaitu di bilik tidurnya serta bilik tidur mangsa di rumah mereka pada Mei 2015.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah ladang kelapa sawit dekat Kuala Ketil sekitar jam 6 pagi pada 3 April lalu.

Vijayalakshmi menetapkan hukuman penjara masing-masing 20 tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua yang berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 2 Mei lalu dengan 10 sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, mahkamah menetapkan hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan yang berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Izza Munirah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.