KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung semua operasi penerbangan membabitkan pesawat Blackshape model BS 115, BK 160, BK 60-200 dan BK 160TR dalam ruang udara Malaysia, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, penggantungan ini selaras dengan Arahan Kelayakan Udara Kecemasan (EAD) (AD No.: 2024-0074-E) yang dikeluarkan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) iaitu pihak berkuasa bagi pembuatan pesawat berkenaan semalam (18 Mac) untuk menggantung operasi penerbangan semua pesawat Blackshape, termasuk semua nombor siri berkuat kuasa pada 20 Mac.

Beliau berkata, penerbitan EAD oleh EASA adalah ekoran kemalangan maut membabitkan pesawat Blackshape baru-baru ini, yang telah meningkatkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan.

"CAAM komited dalam mengutamakan keselamatan penerbangan di Malaysia dan akan mengambil semua tindakan yang sewajarnya bagi memastikan operasi penerbangan yang selamat," katanya dalam kenyataan.

Pada 13 Feb lepas, pesawat Blackshape Gabriel BK 160TR yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah atau rekreasi.

Dalam kejadian pada 1.36 petang itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar, Selangor dan ditemukan musnah serta kedua-dua individu iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat itu, telah terkorban.

Laporan Awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan setebal 58 muka surat yang dikeluarkan 13 Mac lepas antaranya menunjukkan berlakunya penyelenggaraan yang tidak teratur dan berat melepasi had, yang direkodkan dalam penilaian kerosakan.

Laporan itu turut menyebut pesawat terbabit juga tidak dilengkapi dengan sebarang perakam data penerbangan selain dua paparan penerbangan utama Garmin G3X GDU 460 di kabin depan dan di kabin belakang pesawat. - BERNAMA