KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan kajian kemungkinan jajaran jaringan logistik melalui rel dan udara dari Sabah dan Sarawak ke Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Hasbi Habibollah berkata usaha meningkatkan jaringan logistik ke ibu negara baharu Indonesia yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 4 (RMK12 RP4) itu sedang dalam pertimbangan Kementerian Ekonomi.

"Kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan kereta api di Sabah dan Sarawak adalah 'nilai untuk wang' serta memberi impak positif dari segi sosial dan ekonomi setempat.

"Kajian juga akan melibatkan penyediaan strategi pembangunan ekonomi bagi penduduk di sepanjang jajaran serta projek-projek Pemacu Ekonomi (EAP) yang akan memberi kesan lebih meluas," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK12 peringkat Kementerian Pengangkutan di Dewan Negara pada Isnin.

Hasbi berkata kementerian itu yakin pemindahan ibu negara baharu Indonesia dengan nama Nusantara dari Jakarta ke Kalimantan akan memberi kesan positif kepada jaringan logistik sama ada melalui udara atau rel di Sabah dan Sarawak.

Bagi laluan udara, beliau berkata pihaknya menggalakkan syarikat penerbangan tempatan atau asing untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi laluan antarabangsa secara terus dengan mengambil kira beberapa langkah, antaranya rundingan dua hala dengan negara-negara asing pada setiap tahun bagi mewujudkan atau meningkatkan hak trafik penerbangan antara Malaysia dan negara-negara tersebut.

Hasbi berkata langkah lain yang perlu diberi perhatian adalah meliberalisasikan bandar-bandar tertentu di Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Pelbagai Hala ASEAN mengenai Liberalisasi Penuh Perkhidmatan Penumpang.

"Melalui perjanjian yang ditandatangani dan diratifikasi oleh Malaysia ini, syarikat-syarikat penerbangan negara-negara ASEAN dibenarkan untuk mengadakan penerbangan di antara mana-mana destinasi ASEAN, tanpa had kekerapan, kapasiti dan jenis pesawat," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan menawarkan pelbagai insentif menerusi Program Insentif Syarikat Penerbangan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad kepada syarikat penerbangan luar negara yang beroperasi ke mana-mana lapangan terbang negara termasuk bandar-bandar utama Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA