Kerajaan sedang dalam perancangan untuk mewujudkan satu pelan pembangunan koridor ekonomi baharu yang bakal menghubungkan Bandar Malaysia di ibu negara dan negeri Johor, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau berkata, pelan itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan jika diluluskan, ia akan dimulakan pada tahun hadapan.

Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, melalui koridor itu, kerajaan berharap dapat menumpukan usaha pembangunan di daerah kecil di sepanjang jajarannya dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Semalam juga saya telah mendapat taklimat panjang dan mengenai koridor ekonomi baharu untuk negeri Johor untuk kita teliti dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri. Ini semua merupakan usaha berterusan dan ianya memerlukan satu tempoh panjang untuk membangunkan pembangunan tersebut.

“Saya percaya dengan komitmen Perdana Menteri dan kepimpinan pada hari ini, New Economic Johor dapat dilaksanakan bermula pada tahun hadapan,” katanya kepada penduduk di majlis Sembang Santai Harapan di Kampung Bakar Arang, di sini hari ini.

Azmin berkata, kerajaan tidak mahu agenda pembangunan hanya tertumpu di Lembah Klang atau bandaraya sahaja, tetapi daerah kecil juga perlu diberi perhatian sepenuhnya.

“Ia dapat memberi kebaikan kepada penduduk (kawasan berkenaan, sama ada dalam bentuk pembangunan awam seperti landasan keretapi, lapangan terbang baharu, atau kemudahan yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi bagi negeri Johor.

“Ini akhirnya bakal memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta kepada Malaysia sendiri,” katanya lagi.