KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di ibu negara.

Dr Zaliha berkata beliau mengambil maklum cadangan berkenaan dan tidak menolak mengenai kepentingannya sepertimana dikemukakan oleh sesetengah pihak, namun perkara itu perlu diperhalusi secara mendalam.

"Bagaimanapun kalau kita tengok sebenarnya ia (PBT) di bawah (bidang kuasa) KPKT, dan saya tidak menolak akan kepentingannya, jadi apa pun nanti saya juga akan berbincang dengan menteri KPKT (Nga Kor Ming) untuk memastikan bagaimana perkara ini dapat dilihat dan ditinjau lebih teliti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Selamat Datang dan Sesi Taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL 1 di sini hari ini.

Media sebelum ini, melaporkan Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Tan berkata pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

-- BERNAMA