LABUAN: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM520,000 bagi menagani isu komuniti dan hakisan pantai di pulau bebas cukai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata sebanyak RM200,000 telah diperuntuk bagi pembinaan dinding penahan bagi menyelesaikan isu hakisan pantai berhampiran gerai makanan di Kampung Tanjung Aru Nelayan.

Beliau berkata masalah itu telah dikenal pasti menerusi Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran pada 2015.

Dr Zaliha berkata isu itu telah menyebabkan hakisan sepanjang satu kilometer sehingga menjejaskan tanah milik penduduk yang tinggal berdekatan kawasan pantai.

"Sebelum ini, penduduk telah berusaha membina dinding penahan sementara daripada batu dan simen tetapi malangnya, ia rosak semasa ribut kencang melanda.

"Peruntukan ini bertujuan mengawal hakisan pantai sekali gus melegakan peniaga dan orang awam yang terkesan akibat isu berterusan ini yang berlaku berhampiran tapak aktiviti perniagaan," katanya.

JWP turut meluluskan peruntukan sebanyak RM270,000 kepada 27 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Labuan bagi menangani pelbagai isu berkaitan kampung serta pentadbiran.

Dr Zaliha berkata RM50,000 turut diperuntuk bagi membantu 50 petani tempatan (kariah masjid) yang terlibat dalam projek pertanian bandar di Kampung Layang-Layangan.

Beliau berkata kebun komuniti di Kampung Layang-Layangan yang berkeluasan 410 meter persegi telah beroperasi sejak 2022 dan menanam tanaman seperti jagung, limau kasturi dan terung.

"Hasil tanaman dari kebun komuniti menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk kampung, menjana pendapatan bagi Masjid Kampung Layangan dan memanfaatkan komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata Jabatan Pertanian telah terlibat secara aktif dalam memberikan latihan dan pendedahan kepada mereka yang terbabit dalam projek pertanian bandar berhubung kaedah penanaman serta penjagaan tanaman.

Dr Zaliha berkata langkah membasmi kemiskinan bandar kekal menjadi fokus utama JWP apabila beliau mengambil alih urusan pentadbiran Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA