KEMAMAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tidak hanya menjadi Ahli Parlimen biasa sekiranya menang.

Anwar menjelaskan, bersesuaian dengan kedudukannya sebagai orang yang pernah menabur jasa kepada negara, Raja Mohamed Affandi akan diberi tugas yang boleh mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Sebab itu saya datang bagi sokongan kepada beliau dan minta kemaman pecah rekod, angkat seorang yang pernah berjasa kepada negara.

"Panglima Angkatan Tentera itu bukan calang-calang orangnya, beliau kena ada rekod sangat cemerlang untuk dapat jawatan tersebut.

"Rekod beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera amat baik, tidak ada cacat cela dan orang Kemaman, kena ingat jasa orang yang menjaga pertahankan setiap inci bumi bertuah ini.

"Kalau dia jadi Ahli Parlimen, beliau tidak akan jadi Ahli Parlimen biasa, tentunya akan bagi tugas supaya hubungan dengan kerajaan negari baik," katanya di Ceramah Mega Perpaduan Madani pada Rabu malam.

Dalam ceramah itu juga Anwar menegaskan kerajaan yang diterajuinya komited untuk menghapuskan kemiskinan tegar.

Beliau juga menegaskan akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah perumahan yang membelenggu generasi kedua dan ketiga Felda.