Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) lebih-lebih lagi yang berkualiti memang boleh membantu pihak polis menyelesai sesuatu kes jenayah dengan segera, kata penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim.

Beliau berkata ia antara lain akan mempermudah polis memperoleh bahan bukti serta mengecam muka penjenayah terbabit.

"Namun terdapat misalnya premis yang memasang CCTV tidak mengikut spesifikasi yang betul dan berkualiti sehingga sukar mengesan mereka yang menyamun premis tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan semalam bahawa pihak polis yakin dapat menyelesai kes tembakan ke atas seorang ahli perniagaan di Pulau Pinang pada Khamis lalu berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian.

Seorang lagi penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata CCTV juga perlu dipasang di sekitar kawasan perumahan yang dikenal pasti berpotensi berlaku kes jenayah.

"Saya sarankan pihak berkuasa tempatan memasang CCTV berkualiti tinggi kerana terdapat banyak kes jenayah berlaku di kawasan perumahan termasuk kes bunuh, ragut dan lain-lain lagi," katanya.