KUALA LUMPUR: Jenama minuman tenaga Extra Joss memperluas portfolio produknya menerusi pelancaran produk minuman tenaga sedia diminum (RTD) dalam tin, seiring perubahan pilihan pengguna yang semakin mengutamakan kemudahan dan gaya hidup aktif.
Pengurus Pengaktifan Jenama Extra Joss, Jerry Yew berkata, pelancaran produk dikenali sebagai Extra Joss Ultimate itu menandakan langkah baharu syarikat yang sebelum ini lebih dikenali menerusi rangkaian minuman tenaga dalam bentuk serbuk.
Menurutnya, produk berkenaan menyasarkan pengguna berusia antara 18 hingga 35 tahun, khususnya golongan yang mencari pilihan minuman yang lebih praktikal untuk dinikmati ketika bekerja, bersantai atau dalam perjalanan.
Beliau berkata, pengenalan produk itu juga dilihat sebagai usaha memenuhi permintaan pengguna yang semakin cenderung kepada produk sedia diminum.
Extra Joss Ultimate diperkenalkan sebagai minuman tenaga berkarbonat yang mengandungi kopi hijau, ekstrak ginseng serta vitamin B3, B6 dan B12.
Kopi hijau berfungsi sebagai sumber kafein semula jadi, manakala ginseng dan vitamin B dikaitkan dengan sokongan terhadap metabolisme tenaga dalam badan.
Sementara itu, Pengurus Negara Kalbe Malaysia, Oktavianus berkata, pelancaran produk baharu itu merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperkukuh kehadiran jenama berkenaan dalam pasaran minuman tempatan yang semakin kompetitif.
Menurutnya, syarikat akan memanfaatkan rangkaian pengedaran sedia ada bagi memperluas capaian produk melalui pelbagai saluran termasuk kedai runcit, pasar raya, kedai serbaneka, stesen minyak dan premis makanan serta minuman.
Beliau berkata, peluasan rangkaian pengedaran itu diharap dapat meningkatkan kebolehcapaian produk kepada pengguna selain menyokong pertumbuhan syarikat dalam segmen minuman sedia diminum.
Extra Joss telah berada di pasaran Malaysia lebih sedekad menerusi penawaran minuman tenaga dalam bentuk serbuk dengan beberapa pilihan perisa.
Pengenalan produk baharu itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha syarikat menyesuaikan penawaran dengan perubahan corak permintaan pengguna dan perkembangan pasaran minuman RTD.