VALENCIA: Juara MotoGP lapan kali Marc Marquez mengumumkan persaraannya daripada sukan permotoran itu, lapor The Associated Press.
Pelumba Sepanyol itu memenangi kejuaraan terbaharunya minggu lepas dan akan beraksi pada Grand Prix Valencia hujung minggu ini, yang akan menjadi perlumbaan terakhirnya.
“Sudah rasmi. Marc Marquez memutuskan untuk bersara daripada MotoGP,” menurut pasukannya Ducati Lenovo dalam hantaran di media sosial pada Jumaat.
Marquez, 33, dianggap antara pelumba MotoGP terhebat sepanjang zaman. Gelaran kelapannya itu menyamai rekod yang dicapai pelumba legenda Itali Giacomo Agostini.
“Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Saya harap anda menikmatinya sebagaimana saya menikmatinya. Ini akan menjadi perlumbaan terakhir saya dalam MotoGP. Kita telah mencipta sejarah,” tulis Marquez di Instagram.
Marquez memenangi kejuaraan MotoGP pertamanya pada 2013 dan daripada lapan gelaran itu, empat dirangkul secara berturut-turut dari 2016 hingga 2019.
Kejuaraan terbaharunya diraih pada MotoGP Portugal di Lisbon, melengkapkan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan 102 mata di belakang pendahulu ketika itu Marco Bezzecchi selepas tujuh pusingan. Menurut MotoGP, kejayaan itu merupakan kebangkitan daripada defisit mata terbesar dalam sejarah kejohanan itu.
Gelaran kelapannya itu membolehkan beliau mengatasi rekod tujuh kejuaraan yang dikongsi dengan seteru lamanya Valentino Rossi.
-- BERNAMA-AP