KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakar satu lagi pencapaian selepas menerima pensijilan Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa/Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (ISO/IEC) 17024:2012 daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM) hari ini.

ISO/IEC 17024:2012 merupakan sijil untuk Conformity Assessment: General Requirements for Bodies Operating Certification of Persons iaitu pengiktirafan antarabangsa dalam penilaian dan akreditasi kecekapan kakitangan atau personel binaan

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata CIDB menerima ISO/IEC untuk tiga dagangan pembinaan yang mendapat permintaan tinggi dalam sektor minyak dan gas iaitu kimpalan, ujian tanpa musnah (NDT) serta jurubagas dan jurucat.

"Dengan pensijilan ISO/IEC, semua Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) yang dikeluarkan oleh CIDB Malaysia untuk tiga bidang utama ini akan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Latihan kecekapan kemahiran dalam bidang kimpalan, NDT dan jurubagas dan jurucat untuk belia dan kakitangan binaan boleh didapati di pusat latihan milik penuh CIDB iaitu Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Tech," katanya.

Nanta berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2023 dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildExpo Malaysia) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Sijil akreditasi itu disampaikan oleh Ketua Pengarah JSM Saharul Sadri Alwi kepada Pengerusi CIDB Malaysia Ir Yusuf Abd Wahab pada majlis itu.

Sementara itu, Yusuf berkata ICW tahun ini merupakan edisi ke-22 dengan tema "Leading ESG in Construction" dengan ekspo mega serba baharu, BuildExpo 2023.

Beliau berkata pameran itu meliputi keseluruhan rantaian bekalan industri pembinaan, dianjurkan oleh rakan pameran QUBE Integrated Malaysia Sdn Bhd.

"Pada pameran julung kali ini, terdapat lebih 500 reruai pameran daripada lebih 50 syarikat yang mengambil bahagian mempamerkan inovasi terkini mereka.

"Kami menjangkakan sekurang-kurangnya 1,000 pelawat perdagangan menghadiri dan meneroka trend terkini, perkembangan dan teknologi dalam industri pembinaan," katanya.

ICW 2023 berlangsung di MITEC dari 15 hingga 17 Nov dan dibuka kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 4.30 petang.

-- BERNAMA