MALAYSIA
CIMB ASEAN Cultural Night Run 2025 simbol kesatuan, perayaan budaya ASEAN - Nanta

Peserta CIMB ASEAN Cultural Night Run Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah turut memakai pelbagai pakaian etnik negara pada larian tersebut. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: CIMB ASEAN Cultural Night Run 2025 (CIMB ACNR 2025) yang berlangsung di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah malam tadi merupakan simbol kesatuan, gaya hidup sihat dan perayaan budaya ASEAN, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata larian edisi keempat disertai hampir 4,000 peserta di Jambatan Kedua Pulau Pinang itu dianjur sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia.
"Acara berprestij itu dianjurkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Koperasi LLM Berhad dengan penglibatan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam mendukung agenda Kepengerusian ASEAN, dengan CIMB Bank sebagaj penaja utama.
"Semangat "Cara ASEAN" dizahirkan melalui penyertaan antarabangsa, sekali gus memperkukuh integrasi serantau serta memupuk semangat kekitaan sebagai warga ASEAN," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta larian itu.Selain menggabungkan elemen riadah santai dan larian kompetitif, CIMB ACNR 2025 turut menampilkan persembahan kesenian serta budaya tradisional Malaysia dan negara anggota ASEAN.
Bagi menyemarakkan acara, hadiah wang tunai berjumlah RM21,000 ditawarkan kepada pemenang kategori dipertandingkan selain 30 hadiah pakaian kebudayaan terbaik bagi kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak, serta 30 hadiah cabutan bertuah kepada peserta berdaftar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami