KUALA LUMPUR: Kes jangkitan baharu COVID-19 dalam negara kekal melebihi 20,000 kes dengan 20,889 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Jumlah kes baharu ini merupakan angka tertinggi sejak pandemik itu bermula lebih setahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan menerusi di laman Twitternya, dengan kes baharu ini ia menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara kini sebanyak 1,224,595.

"Selangor terus menjadi penyumbang kes jangkitan harian tertinggi dengan 8,792 kes.

"Ini diikuti Kuala Lumpur dengan 2,483 kes, Kedah (1,371), Johor (1,275), Sabah (1,291), Negeri Sembilan (986) dan Kelantan (938)," katanya.

Dalam pada itu, katanya sebanyak 16,394 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 993,020 kes.

Selain itu 160 kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 10,179 kes.

Jumlah kes menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,096 kes, manakala 545 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, katanya.

Sebanyak 34 kluster baharu dikesan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 19 merupakan kluster tempat kerja yang dikesan di Selangor, Perak, Kelantan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka.

Turut direkodkan adalah 12 kuster komuniti melibatkan Kelantan, Perak, Kedah, Pahang, Selangor, Terengganu dan Sarawak.

Terdapat tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dilaporkan di Selangor dan Kelantan.

Sehingga 6 Ogos, 2,672 kluster diisytiharkan tamat manakala 1,191 lagi kluster masih aktif.