KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 270 kertas siasatan berhubung penularan berita palsu berkaitan COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 133 kes masih dalam siasatan manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah sementara 19 individu telah mengaku salah dan 12 kes diberi notis amaran.

“Dalam masa sama, sebanyak 388 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelas oleh Pasukan Respon Pantas (PRP).

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui dan sentiasa semak terlebih dahulu sumber rasmi atau yang boleh dipercayai” katanya ketika sidang media harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyarankan orang ramai agar membuat laporan berita palsu sekiranya terdapat sebarang berita yang diragui di talian 03-89115103 atau layari portal www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihannya.