KUALA LUMPUR : Angka jangkitan baharu COVID-19 pada hari ini sekali lagi menghampiri 7,000 apabila 6,982 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 765,949.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu 2,907 kes diikuti Kuala Lumpur (637 kes) dan Negeri Sembilan (606 kes). 


Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 73 korban baharu akibat COVID-19 dalam negara dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sehingga kini ialah sebanyak 5,327 kes. 

Berdasarkan jumlah jangkitan baharu pula, Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat tiga kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara. 

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 66,084 kes," katanya. 

Sementara itu, bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih kekal tinggi iaitu sebanyak 905 kes dan daripada jumlah itu, 443 memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala jumlah pesakit yang pulih pula adalah seramai 6,278 orang dengan jumlah keseluruhan kes sembuh kini 694,538.