KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 negara meningkat kepada 17,134 kes pada Rabu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 2,956,332 kes.

Daripada jumlah tersebut, 17,004 kes merupakan kes tempatan manakala 130 kes merupakan kes import.

Jelasnya daripada 17,134 kes harian yang dicatatkan, sebanyak 17,048 kes bersamaan 99.5 peratus merupakan pesakit kategori 1 dan 2, manakala 86 kes bersamaan 0.5 peratus merupakan pesakit kategori 3,4 dan 5.

Sebanyak 5,681 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh 2,829,752 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 143 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), 78 daripada jumlah itu memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 15 kluster baharu turut dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif meningkat kepada 358 kluster setakat ini.