KUALA LUMPUR: Jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 yang direkodkan pada 2 Julai adalah 236,196 dos.

Angka itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding hari sebelumnya iaitu 263,012 dos, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Baksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di Twitter hari ini.

Daripada jumlah itu, 167,059 adalah penerima dos pertama manakala 69,137 penerima dos kedua.

Ini menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan setakat ini sebanyak 8.58 juta sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu.

Lebih 6.11 juta dos atau 18.7 peratus adalah bagi suntikan pertama manakala 2.46 juta dos atau 7.5 peratus untuk suntikan kedua.


Perkembangan ini semakin menghampiri nilai ambang 10 peratus untuk peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Dalam pada itu, data yang dikongsikan turut menunjukkan penduduk Kuala Lumpur kekal mencatat kadar penerima dos pertama tertinggi dengan 1.09 juta individu atau 61.7 peratus daripada populasinya.

Ia disusuli Sarawak (1.15 juta/40.9 peratus), Putrajaya (41,788/38 peratus), Labuan (35,534/35.7 peratus), Perlis (68,502/26.9 peratus), Pulau Pinang (314,791/17.7 peratus) dan Negeri Sembilan (197,285/17.5 peratus).