Orang Kena Tahan (OKT) yang baharu ditahan perlu diasingkan daripada individu yang sudah lama ditahan bagi membendung penularan COVID-19 seperti yang berlaku dalam Kluster Benteng Lahad Datu (LD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua OKT itu perlu diasingkan walaupun ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) negatif memandangkan tempoh inkubasi bagi virus berkenaan aktif adalah 14 hari.

Katanya, kes indeks bagi Kluster Benteng LD ini adalah daripada warga asing.

"Apabila ujian saringan dilakukan ke atas kes terbabit beliau tidak menunjukkan sebarang gejala atau demam sebelum ditempatkan dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) LD dan Penjara Tawau.

"Walaupun tiada gejala, bila diletakkan di dalam satu sel ia boleh menjangkiti individu yang lain. Jadi prosedur operasi standard (SOP) kita kalau boleh asingkan OKT baharu dengan lama," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.

Dr Noor Hisham menegaskan, mereka boleh disekalikan bersama OKT yang lain selepas tamat tempoh inkubasi.

"Di depoh imigresen pun sama, campur selepas tempoh inkubasi," katanya.

Hari ini, 40 daripada 45 kes baharu yang direkodkan adalah daripada Kluster LD.