Lebih RM26 juta telah dibelanjakan untuk menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Ahmad Faizal, bantuan yang memberi manfaat kepada lebih sejuta rakyat Perak itu disalurkan dalam beberapa bentuk seperti insentif penjaja dan peniaga kecil, makanan bermasak, kotak makanan dan keperluan barisan hadapan.

Ahmad Faizal juga memberitahu beliau membuat keputusan untuk tidak membelanjakan sebahagian besar kewangan negeri kerana telah menjangkakan sedari awal lagi PKP akan dilanjutkan lebih dua minggu.

"Alhamdulillah, kita lihat di Perak penularan COVID-19 dapat dikawal. Jadi, hari ini, kerajaan negeri telah menimbang untuk mengumumkan pakej rangsangan ekonomi kerana prestasi kawalan wabak COVID-19 di Perak ini amat baik.

"Kerajaan perlu memikirkan bagaimana kita hendak 'kick start the economy' selepas PKP.

"Jadi, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan umum satu pakej rangsangan ekonomi untuk para peniaga di negeri ini."

Ahmad Faizal berkata demikian selepas menerima sumbangan keperluan petugas barisan hadapan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di pejabatnya pada Rabu.

Beliau yakin sumbangan itu jauh lebih tinggi daripada yang direkodkan jika mengambil kira sumbangan daripada NGO, parti-parti politik dan syarikat swasta yang menyalurkan sendiri bantuan kepada kumpulan sasar.

Menurutnya, ketika PKP bilangan kumpulan sasar bukan sahaja hanya daripada kumpulan B40 atau asnaf tetapi juga mereka yang kehilangan sumber pendapatan.