SUBANG JAYA: Pesawat membawa satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech sumbangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dijadual tiba sekitar jam 8.10 pagi ini.

Penghantaran bekalan menggunakan pesawat penerbangan Raya Airways TH384 itu akan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters dijangka hadir menyaksikan ketibaan bekalan vaksin tersebut.

Jumlah vaksin berkenaan merupakan daripada kumpulan awal 80 juta vaksin buatan AS yang dijanjikan pentadbiran Joe Biden bulan lalu untuk perkongsian global.

Khamis lalu, Malaysia menerima lagi sejuta dos vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca sumbangan kerajaan Jepun bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).