KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan penguatkuasaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sebako, Lundu selama 14 hari.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, pelaksanaan PKPD di kampung tersebut bermula 6 Februari 2021 sehingga 19 Februari 2021.

Manakala lanjutan pelaksanaan PKPD dikenakan di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat selama tujuh hari bermula 10 Februari 2021 sehingga 16 Februari 2021.

“Memandangkan kes positif di daerah Lundu semakin meningkat, JPBN Sarawak memutuskan untuk melaksanakan PKPD bagi Kampung Sebako, Lundu.

“Keputusan dicapai bagi mengawal serta memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Sarawak hari ini melaporkan pertambahan 178 kes positif COVID-19 dengan Sibu terus mencatatkan kes tertinggi dengan 67 kes.

BACA: PKPD di SMK Sultan Idris Shah II di Perak, dan Kampung Sebako 1, 2 di Sarawak

Ia diikuti Bintulu (24), Dalat (23), Kanowit (21), Kapit (10), Miri (enam), Song dan Samarahan (lima), Kuching dan Matu (tiga), Selangau, Sebauh dan Beluru (dua), dan satu kes di Sarikei, Bau, Subis, Julau dan Lawas.

Penambahan ini juga menyaksikan Kluster Pasai di Sibu terus catat peningkatan kes.

“Hari ini berlaku penambahan 65 kes melibatkan kluster ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,211 kes.

“Sejumlah 24,000 individu telah disaring dengan 21,650 disahkan negatif manakala 639 masih menunggu keputusan makmal,” tambahnya.