PUTRAJAYA:Malaysia mencatatkan kes paling tinggi hari ini sejak penularan jangkitan COVID-19 iaitu sebanyak 1,228 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu,  Sabah mencatatkan kes jangkitan paling tinggi iaitu 889 kes dan diikuti Negeri Sembilan (96 kes); Selangor dan Kedah masing-masing 76 kes, Pulau Pinang (23 kes); Wilayah Persekutuan Labuan (21 kes); Perak (10 kes); Sarawak (8 kes); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (8 kes); Johor (7 kes); dan Melaka (3 kes).


 
Menurut beliau, jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini sebanyak 25,742 kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 8,966 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Bilangan kes pulih pula dilaporkan sebanyak 671 kes dan ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 16,555 kes (64.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.



Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 92 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dairpada jumlah itu, 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau menambah, terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 221 kes.