KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,302 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan kes kumulatif setakat ini sebanyak 341,944 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sarawak mencatat angka tertinggi dengan 426 kes jangkitan.

Ini diikuti oleh Selangor dengan 256 kes dan Pulau Pinang sebanyak 212 kes," kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan media harian pada Ahad.


Sementara itu, beliau turut memaklumkan, sebanyak 1,127 pesakit sembuh direkodkan menjadikan kes pulih keseluruhan sebanyak 326,309 kes.

Manakala, keseluruhan kes aktif dalam negara kini mencecah angka 14,380.

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, negara mencatatkan tambahan empat kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan kematian 1,255.

Katanya, seramai 169 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 76 lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.


Selain itu, KKM juga ingin memaklumkan terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan kluster tempat kerja, komuniti, dan pusat tahanan.

Tiga kluster itu dinamakan Kluster Ladang Sungai Pelek, iaitu kluster tempat kerja melibatkan daerah Sepang di Selangor, Kluster Patek (kumuniti) yang  melibatkan daerah Kota Bharu dan Machang di Kelantan serta Kluster Pagar Bukit Chagar (pusat tahanan) yang melibatkan daerah Johor Bahru.