KUALA LUMPUR: Genap dua minggu berturut-turut, Malaysia merekodkan kes positif COVID-19 empat angka selepas 1,317 lagi jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 362,173 melibatkan 1,305 penularan tempatan dan selebihnya kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), daripada kesemua jangkitan baharu itu, Sarawak merekodkan kes tertinggi dengan 351 diikuti Selangor (303 kes), Kuala Lumpur (116 kes) dan Sabah (105 kes).

Perkembangan yang dilaporkan hari ini juga menjadikan 14 hari berturut-turut Malaysia merekdokan kes empat angka sejak 29 Mac lalu.

Sementara itu, 1,052 kes sembuh baharu dilaporkan manakala jumlah kes aktif dalam negara kini bertambah kepada 15,835.

Tambah KKM lagi, 188 pesakit pula berada di dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan 84 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, KKM juga merekodkan empat korban akibat wabak itu sekali gus menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 kepada 1,333.