KUALA LUMPUR: Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes positif jangkitan COVID-19 dengan 1,349 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia sekali gus menjadikan hari ini hari keenam berturut-turut Malaysia merekodkan kes empat angka, selepas mencatat 941 kes pada 29 Mac lalu, yang juga angka terendah pada tahun ini.

Dengan pertambahan ini, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kini sebanyak 350,959 kes dengan 14,509 kes aktif.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, kes harian di Sarawak merekodkan jumlah tertinggi dengan 419 kes baharu, diikuti Selangor (343), Pulau Pinang (185) dan Johor (95).

Dalam pada itu, sehingga jam 12 tengah hari Ahad, sebanyak 1,270 kes dilaporkan pulih dan menjadikan pertambahan kepada 335,162 kes sembuh.

Seramai 186 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 94 orang memerlukan bantuan pernafasan.

KKM juga melaporkan dua lagi kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 1,288 kes.