PUTRAJAYA:Sebanyak 1,594 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini, dengan tiga daripadanya adalah kes import, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kes positif kumulatif sebanyak 106,690 kes.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 697 kes, iaitu 43.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 593 kes (85.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 194 kes (12.2 peratus) dan Johor sebanyak 191 kes (12 peratus)," kata beliau dalam sidang media harian, pada Isnin.

Tiga kes kematian baharu dicatatkan, menjadikan kes kumulatif kematian kepada 455.

COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Kes kematian membabitkan dua lelaki berusia 90 tahun dan 62 tahun, serta seorang wanita berusia 62 tahun.

Kesemua mereka mempunyai latar belakang penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan gout.