KUALA LUMPUR: Sebanyak 20,579 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Ahad, menurun berbanding 22,597 kes yang direkodkan semalam.

Begitupun, kes baharu melepasi angka 20,000 untuk enam hari berturut-turut, bermula pada 24 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan berkata, angka terbaharu pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 1,706,089.

Sementara itu, sebanyak 285 kematian direkodkan pada Ahad, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia kini ialah 16,087 kematian.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 51 kes kematian merupakan Brought In Dead (BID) melibatkan 30 warganegara dan 21 bukan warganegara.

Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,009 dengan 477 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kes sembuh pula merekodkan angka memberangsangkan dengan 20,845 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih ialah 1,422,005.

Dalam pada itu, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 4,591 kes diikuti Sabah (2,578 kes), Sarawak (2,522 kes), Johor (1,852 kes), Kedah (1,755 kes), Pulau Pinang (1,378 kes), Kelantan (1,316 kes) dan Perak (1,208 kes).

Lima negeri merekodkan kes di bawah 1,000 iaitu Pahang (839 kes), Terengganu (789 kes), Kuala Lumpur (680 kes), Melaka (636 kes) dan Negeri Sembilan (329 kes).

Sementara Perlis dan Putrajaya merekodkan kes baharu dua angka iaitu Perlis dengan 56 kes dan Putrajaya 48 kes manakala Labuan, hanya dua kes baharu dicatatkan pada Ahad.