KUALA LUMPUR : Malaysia merekodkan kes baharu jangkitan COVID-19 sebanyak 3,744 kes, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 424,376 kes.

Daripada jumlah itu, tujuh adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 1,548 kes, diikuti Kelantan (480 kes) Sarawak (419 kes), Kuala Lumpur (313 kes) dan Johor (292 kes).

Jelasnya, sebanyak 2,304 pesakit sembuh direkodkan menjadikan kes pulih keseluruhan sebanyak 389,846 kes.

Manakala, keseluruhan kes aktif dalam negara kini mencecah angka 32,939.

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, negara mencatatkan tambahan 17 kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan kematian 1,591.

Seramai 328 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 185 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.