KUALA LUMPUR : Sejumlah 5,624 kes baharu COVID-19 direkodkan semalam, menurun penurunan berbanding 6,342 kes hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 5,600 kes (99.57%) adalah kategori satu dan dua, manakala 24 kes (0.43%) lagi dalam kategori tiga, empat dan lima.

Daripada 24 kes tersebut, 10 kes (41.67%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

"Selain itu, lapan kes (33.33%) telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan enam kes (25.00%) telah menerima dos penggalak. 

"Sementara itu, 12 kes (50%) berumur 60 tahun dan ke atas, 12 kes (50%) mempunyai komorbid dan
1 kes (4.17%) ibu mengandung," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebanyak 89 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 57 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 10,041.

Semalam, satu kluster baharu direkodkan, dengan 99 kluster masih aktif.

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau R0) COVID-19 di seluruh negara ketika ini adalah 0.77, dengan Putrajaya mencatatkan bacaan tertinggi pada 1.10.