KUALA LUMPUR:Sebanyak 5,728 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan ia jumlah kes baharu tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

Selangor masih mencatat angka tertinggi dengan 3,285 kes, sementara 13 lagi kes kematian telah direkodkan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan jumlah kes sembuh baru adalah 3,805 kes sementara jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 161,527 kes (77.04 %).

"Jumlah kumulatif adalah sebanyak 209,661 kes dengan jumlah kes aktif: 47,388 kes.

"Kes tempatan pula sebanyak 5,723 kes sementara lima kes import dilaporkan adalah dua warganegara dan tiga lagi bukan warganegara," jelas kenyataan itu

Sementara jumlah kes di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 319, manakala 120 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu kata Dr Noor Hisham,16 kluster baharu dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan 13 kluster berkaitan tempat kerja dan tiga kluster komuniti.

Jelasnya, ia melibatkan negeri Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Sabah, Perak dan Terengganu.

"Sehingga 30 Januari, jumlah kluster adalah sebanyak 807 dengan 16 kluster baharu.

"Jumlah kluster yang telah tamat pula sebanyak 420(termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Batu Tujuh, Kluster D’Bajaru, Kluster Tapak Bina Jalan Broga, dan Kluster Mador).

"Jumlah kluster aktif pula adalah 387 dengan jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari
ini adalah sebanyak 97," katanya.

Jelasnya, kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tanjung Suria (567 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (103 kes), dan Kluster Pasai (96 kes).