IPOH:Enam Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di Manjung ditutup tujuh hari bermula hari ini susulan terdapat kes disyaki jangkitan COVID-19 di daerah itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, tiga daripada sekolah terlibat terletak di Lekir iaitu SRAR Al-Hidayah Batu 7, SRAR Ittifaqiah Batu 10 dan SRAR Al-Khairiah Batu 14, SRAR Annasriah, Sitiawan, SRAR Arshadiah, Pasir Panjang serta SRAR Abadiah Fasa 1C3 di Seri Manjung.

"Penutupan sehingga 20 Oktober itu turut melibatkan sebuah tadika iaitu Tadika Islam Perak An-Nasriah di Sitiawan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini susulan tular notis arahan penutupan daripada Pejabat Pentadbiran Agama Islam Manjung.

Berdasarkan notis itu, penangguhan sesi persekolahan semua premis terlibat bertujuan membolehkan proses sanitasi dan nyah kuman dijalankan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Edaran itu turut memaklumkan semua guru dan pelajar diarah untuk kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penangguhan persekolahan selain melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Setakat pukul 12 tengah hari semalam, jumlah kes semasa jangkitan COVID-19 di Perak adalah 48 dengan 16 kes baharu dilaporkan semalam melibatkan 15 tahanan lelaki dan seorang kakitangan di sebuah Pusat Tahanan, daerah Larut Matang Selama (LMS). - BERNAMA