KUALA LUMPUR: Kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 yang direkodkan sebanyak 8,334 hari ini adalah yang tertinggi setakat ini, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 572,113 atau 87.7 peratus daripada jumlah kes keseluruhan. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan sebanyak 5,793 kes baharu direkodkan, menurun berbanding pada Jumaat yang mencatatkan 6,849 kes dalam tempoh 24 jam. 

Angka terbaharu positif itu menjadikan jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia setakat ini sebanyak 652,204 kes. 

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, Selangor kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 1,582 kes diikuti Negeri Sembilan (618), Sarawak (569) dan Kuala Lumpur (559). 

Perlis terus kekal mencatatkan kes terendah dengan lima kes. 



Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan 76 individu meninggal dunia akibat COVID-19.  Mereka yang meninggal dunia adalah berusia 31 hingga 101 tahun. 

Dalam pada itu, 914 individu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 459 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.