KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 12,528 kes baharu direkodkan pada Sabtu, hanya 64 kes atau 0.5 peratus berada dalam kategori lima (kritikal dan perlukan ventilator).

Menerusi ciapan di Twitter beliau, majoriti kes berada pada Kategori 1 (tiada gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan) dengan 6,840 kes (54.6 peratus) pada Kategori 1 manakala 5,468 kes (43.6 peratus) pada Kategori 2.

Bagi Kategori 3 (radang paru-paru) pula, sebanyak 112 kes dilaporkan pada hari ini bersamaan 0.9 peratus dan untuk Kategori 4 (perlu oksigen), sebanyak 44 kes (0.4 peratus) dilaporkan.


Sementara itu, menerusi ciapan lain, Dr Noor Hisham berkata jumlah ujian saringan melibatkan RT-PCR dan RTK Antigen menunjukkan trend menaik.

“Secara umumnya, jumlah sampel COVID-19 (ujian RT-PCR dan RTK-Ag) yang diuji untuk tempoh 14 hari kebelakangan menunjukkan tren menaik.

BACA: COVID-19: 12,528 kes baharu, kes keseluruhan lepasi angka 900,000

“Pada 16 Julai 2021, jumlah ujian keseluruhan adalah 132,935 di mana 65,171 ujian RT-PCR dan 67,764 RTK-Ag telah dijalankan.


“Negeri Selangor telah menjalankan jumlah ujian tertinggi iaitu 46,681 ujian, WP Kuala Lumpur 16,500 ujian dan Johor pula 10,611 ujian,” katanya.

Tambah beliau, masih ada kapasiti diguna pakai bagi menjalankan ujian COVID-19 terutama bagi saringan bertumpu (targeted testing).