LABUAN: Kumpulan pertama 60 pesakit kategori ketiga dan keempat COVID-19 telah dipindahkan ke hospital medan yang baharu dibuka di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan di sini pada Ahad.

Pesakit terbabit adalah dari pelbagai kluster aktif termasuk beberapa banduan dari Kluster Tembok Labuan di Pusat Koreksional Labuan.

Penubuhan hospital medan itu diumumkan buat pertama kali oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Jun lepas.

Hospital itu mempunyai kapasiti 100 katil termasuk empat di unit rawatan rapi (ICU) transit, lapan doktor dan 30 paramedik serta pasukan sokongan dari MERCY Malaysia.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata kebanyakan pesakit memerlukan gas perubatan oksigen dan kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih baik.

"Kami memindahkan pesakit yang kini ditempatkan di Hospital Nukleus Labuan dan pusat kuarantin di Institut Latihan Perindustrian (ILP) ke hospital ini hingga petang ini," katanya kepada Bernama selepas majlis bacaan doa selamat sempena pembukaan hospital itu.

Labuan telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan sehingga esok, dengan lapan lokalitinya di bawah sekatan pergerakan penuh.

-- BERNAMA