KUALA LUMPUR: Warga pendidik di Sibu yang telah menerima vaksin diminta memainkan peranan menasihatkan guru-guru lain di daerah itu yang belum menerima vaksin untuk segera berbuat demikian.

Ini susulan terdapat dakwaan bahawa lebih 150 guru di daerah itu yang enggan menerima suntikan COVID-19.

Menurut Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (J-P-B-B) Sibu, Dr Annuar Rapaee, jika dakwaan ini benar, beliau khuatir murid-murid berada dalam risiko sekiranya sekolah dibuka kelak.

‘’Sekiranya anda merupakan seorang guru, tolonglah beri nasihat kepada rakan-rakan guru yang lain untuk menerima suntikan vaksin.

‘’Saya menerima laporan sekitar 150 guru tidak mahu divaksin dan angka itu sangat tinggi.

‘’Mereka (guru) akan berhadapan dengan murid-murid apabila sekolah dibuka nanti dan ini akan mendatangkan risiko kepada golongan itu,’’ katanya menerusi siaran di Facebook Live pada Sabtu.

Tambahnya, setakat Sabtu, separuh daripada 3,800 penjawat awam terdiri daripada guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di Sibu telah divaksin.


Lebih 150 guru di Sibu dilaporkan enggan divaksin

“Hampir separuh daripada 3,800 pekerja di jabatan kerajaan di Sibu melibatkan guru dan anggota AKP sudah menerima suntikan vaksin COVID-19,” tambahnya.

Setakat ini, kira-kira 35 peratus penduduk di Bahagian Sibu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.