KUALA LUMPUR:Negeri Selangor dijangkan akan terus mencatatkan peningkatan kes penularan COVID-19 susulan proses saringan yang akan dibuat secara meluas.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun rakyat di negeri itu tidak perlu bimbang dan panik berhubung situasi itu kerana keadaan masih berada di peringkat terkawal.

“Kita jangka dalam beberapa hari lagi pasti akan berlaku peningkatan kes kerana kita akan meluaskan proses saringan di kawasan sekeliling.

“Namun begitu, berdasarkan pengumuman KKM semalam memaklumkan (R Naught - kadar kebolehjangkitan) di Selangor telah mencatatkan penurunan kepada 1.4 berbanding sebelum ini yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Jumaat.

Menurut Amirudin, pihaknya percaya penurunan itu adalah disebabkan langkah yang telah diambil menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pihaknya akan cuba untuk memperketat serta mengukuhkan lagi langkah kawalan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan secara Pentadbiran (PKPDP).

“Pelaksanaan ini masih berada dalam pertimbangan yang kita akan kemukakan di beberapa lokaliti yang menunjukkan pengumpulan kes yang besar.

“Antara lokasi yang kita telah bincangkan antaranya Penjara Kajang dan Kompleks Penjara Wanita dan pihak kerajaan negeri akan sediakan bantuan bekalan makanan.

“Kita dapati menerusi Op Benteng juga ada penularan dalam kalangan pendatanga sing tanpa izin dan kita ingin pastikan tiada jangkitan merebak melibatkan penjara di Selangor,” katanya lagi.