KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan bersabar, mengurangkan aktiviti luar dan tidak membuat pembakaran terbuka disebabkan cuaca panas di negara ketika ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan ini kerana asap tebal boleh menjejaskan kesihatan, menyumbang kepada suhu seterusnya membahayakan kesihatan orang awam.

Dalam pada itu, METMalaysia memaklumkan taburan hujan berkurangan di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada Jumaat.

MetMalaysia dalam satu kenyataan memberitahu potensi peratusan hujan turun di Sarawak tinggi di hampir semua bahagian di negeri itu termasuk Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman pada petang ini.

Kawasan di Kapit, Bintulu, Betong dan Sibu juga diramal hujan turun pada petang ini.

Di Semenanjung, terdapat perbezaan angin yang ketara di pendalaman Pahang dan ini akan menjadi faktor pembentukan awan setempat sekali gus terdapat kebarangkalian berlaku hujan di negeri itu.

Hujan dilaporkan berpotensi turun di negeri Pahang dan selari dengan tiupan angin arah timur laut seterusnya memasuki di pendalaman Selangor.