BUKIT MERTAJAM: Cubaan dua lelaki menyeleweng minyak diesel berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, Bukit Mertajam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, mereka ditahan kira-kira jam 6 petang Rabu selepas empat pegawai penguat kuasa mendapati lori dua tan itu berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurut A. Mogan, seorang lelaki didapati sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam sebuah tong berkapasiti 2,500 liter yang diubah suai di bahagian belakang lori.

“Dua lelaki warga tempatan iaitu pemandu lori dan pembantu telah ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 2,000 liter minyak diesel telah diisi ke dalam tong yang diubah suai itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam serbuan itu, tong minyak diesel bersama motor pam elektrik dan hos paip yang dianggarkan bernilai RM17,000 dirampas untuk siasatan lanjut.

Mogan berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.