KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan melaksanakan penyelarasan segera bagi menaikkan gaji penjawat awam berbanding perlu menunggu sehingga 2025 seperti ditetapkan melalui kajian di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata selagi pelarasan gaji perkhidmatan awam tidak dilaksanakan, maka penyelarasan pencen penjawat awam tidak boleh dilakukan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan semasa kerajaan seperti inisiatif Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP).

"Berdasarkan tempoh diberikan oleh kerajaan, kajian SSPA yang bermula Julai 2023 dijangka dapat dimuktamadkan pada Oktober 2024, manakala pelaksanaannya hanya akan dibuat pada 2025. Cuepacs berpendapat tempoh tersebut terlalu lama.

"Kerajaan sewajarnya memberi keutamaan yang tinggi dalam isu ini kerana ia membabitkan isu kebajikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sedang berkhidmat serta lebih 700,000 pesara kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata tempoh masa yang ditetapkan untuk melaksanakan SSPA baharu pada 2025 juga tidak jelas dan bergantung sepenuhnya kepada situasi kewangan negara ketika itu.

Menyifatkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan pada 2002 bagaikan kerangka 'rumah lama' yang sudah tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa, justeru, Adnan berkata penjawat awam ketika ini memerlukan sistem saraan baharu bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup.

Mengenai keputusan kerajaan meneruskan pemberian bantuan PKKP bagi tempoh Januari hingga Disember 2024, beliau menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan berhubung perkara itu kerana ia dapat memastikan pesara kerajaan terus menerima amaun pencen semasa.

"Bagaimanapun, Cuepacs berpandangan penerusan pembayaran PKKP ini bukanlah penyelesaian tuntas kepada permasalahan yang berlaku.

"Ini kerana penyelarasan pencen penjawat awam hanya akan dibuat selaras dengan pelaksanaan semakan gaji perkhidmatan awam yang ketika ini masih dalam tindakan menyediakan cadangan semakan semula.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed dalam kenyataan semalam memaklumkan pemberian bantuan PKKP bagi tempoh Januari hingga Disember 2024 diteruskan kepada pesara dan penerima pencen terbitan yang terkesan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan supaya bayaran PKKP dilaksanakan bagi tempoh Julai 2023 hingga Disember 2023 kepada pesara dan penerima pencen terbitan yang terkesan.

Perkara itu susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan itu terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

-- BERNAMA