Golongan pendidik dan ibu bapa perlu memainkan peranan bagi mengenal pasti hasil kerja kreatif dan inovatif oleh kanak-kanak dalam dunia teknologi digital yang semakin berkembang pesat dan relevan pada masa kini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata guru dan ibu bapa perlu mencungkil bakat pelajar yang terpendam dalam pengunaan teknologi digital supaya hasil usaha mereka diiktiraf dalam era transformasi digital.

Beliau berkata kemahiran digital diperlukan bukan sahaja dalam bidang teknologi maklumat atau komputer malah untuk semua bidang jurusan dalam mendepani era pembaharuan digital.

Justeru, katanya, kerajaan menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan Malaysia bersedia menerima cabaran era pembaharuan digital serta beralih ke kaedah digital dalam pelbagai urusan seperti diamalkan oleh negara maju.

"Kerajaan komited dalam memberi tumpuan kepada industri baharu ini yang semakin berkembang pesat dan relevan selaras dengan tuntutan semasa dalam semua bidang ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi anggota panel forum bertajuk 'Persediaan Bakat Untuk Masa Depan' sempena Pameran #MyDigitalMaker Fair 2018 anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini pada Ahad.

Menurutnya, kerajaan boleh menyediakan bantuan kewangan bagi golongan pereka aplikasi digital sebagai galakan di samping melibatkan pihak swasta ke arah melakukan perubahan dan anjakan seterusnya dalam bidang teknologi digital.

"Pameran sebegini bertindak sebagai platform yang mengetengahkan bakat-bakat dari seluruh negara," katanya.

Pameran dua hari itu, yang berakhir semalam, itu disertai oleh pelbagai agensi, guru dan pelajar yang didedahkan kepada satu pengalaman digital meliputi aktiviti robotik, percetakan 3D, ceramah kerjaya dan pertandingan berasaskan digital.

-- BERNAMA