KUALA LUMPUR: Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Selangor) mencadangkan supaya cuti pertengahan penggal persekolahan tahun ini dibawa ke cuti akhir tahun.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Ismalina Ismail menjelaskan, ia bagi menjawab kekeliruan yang timbul susulan kenyataannya sebelum ini berhubung supaya cuti penggal tahun ini dimansuhkan.

Ia selepas mendapat cadangan daripada ibu bapa supaya cuti penggal itu ditiadakan selepas anak-anak telah berada terlalu lama di rumah.

“Saya ingin menjelaskan bahawa apa yang telah dicadangkan adalah agar cuti pertengahan penggal persekolahan ini dibawa ke cuti akhir tahun. Bukannya dimansuhkan.

"Saya faham sangat dengan jasa dan pengorbanan guru. Sebab itu saya aktif menggerakkan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) dan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK).

"Saya ingin memohon maaf atas kekeliruan yang timbul,” ujarnya kepada Astro AWANI menerusi kenyataan ringkas.

BACA: Mansuh cuti penggal, beri peluang pelajar 'catch up' semula pelajaran - MIMBAR

Sebelum ini, terdapat cadangan semua cuti penggal persekolahan bagi tahun ini dimansuhkan bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk mempelajari semula pembelajaran yang tertinggal.