Seorang pengundi dari Air Itam Pulau Pinang membuat laporan polis hari ini selepas mendakwa beliau tidak dapat mengundi kerana namanya telah digunakan oleh orang lain untuk mengundi.

Penjaga Setor yang mahu dikenali sebagai Goh, 41 membuat laporan itu di Balai Polis Air Itam, disini selepas gagal membuang undi di pusat mengundi di Sekolah Rendah jenis Kebangsaan (Cina) Kong Min Pusat , Air Itam.

Dalam laporan itu, Goh berkata, dia telah datang untuk membuang undi pada jam 8.30 pagi tadi .

Bagaimanapun sewaktu di kaunter semakan ,dia terkejut apabila dimaklumkan pegawai Suruhanjaya Pilihanraya ( SPR) bahawa dia telah pun mengundi sedangkan beliau sendiri masih lagi beratur dan menunggu giliran untuk mengundi.

Menurut Goh, dia mengesyaki ada pihak telah menggunakan identitinya dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Goh berkata, sebelum ini dia kehilangan kad pengenalan selepas rumahnya terbakar beberapa bulan lepas dan telah pun mempunyai kad pengenalan baharu selepas kejadian itu.