KUALA LUMPUR:Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh hari ini mengakui perkataan ‘dipesongkan’, yang beliau gunakan untuk merujuk kepada kitab Injil ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat Ogos lalu, telah menyentuh sensitiviti penganut agama Kristian.

Sewaktu sesi Dewan Rakyat hari ini, Ketua Dewan Ulama Pas itu mendakwa, beliau pada asalnya menggunakan perkataan itu bagi mempertahankan ‘keaslian’ kitab Injil.


“Untuk elak kekeliruan yang berlaku, saya sebutkan bahawa isu membabitkan kitab Injil ini bukan sahaja isu membabitkan penganut agama Kristian. Kami umat Islam juga beriman dengan kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS, itu adalah akidah yang kami pertahankan.

“Saya sebut dipesong atau dipinda itu, tujuan saya untuk mempertahankan keaslian Injil yang ada supaya mana-mana kitab yang diturunkan itu tidak ada sebarang perubahan,” katanya lagi.

Nik Muhammad Zawawi berkata, beliau memohon maaf atas kenyataan tersebut dan menegaskan tiada niat untuk menyentuh sensitiviti penganut agama Kristian.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii bangkit mengemukakan notis meminta supaya Nik Muhammad Zawawi memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkan sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, pada Ogos lepas.

“Pasir Puteh telah menyatakan pandangan beliau daripada kaca mata Islam, sebagai pandangan akidah Islam. Dalam hansard, beliau tidak sama sekali berhasrat burukkan mana-mana agama.

“Namun dalam kehangatan perdebatan, Pasir Puteh guna perkataaan ‘dipesongkan’ dan ‘diubah’ yang mengguris hati penganut beragama Kristian. Saya minta Pasir Puteh mohon maaf dan tarik balik perkataan tersebut,” kata Kelvin.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengeluarkan arahan supaya Nik Muhammad Zawawi menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan itu.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 22 laporan polis telah dibuat di seluruh negara atas kenyataan itu.

Pada 9 September lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mengesahkan kertas siasatan telah dibuka.