Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata dakwaan bahawa hampir 100,000 rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan jika jangkitan COVID-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini, hanya bersifat andaian.

Bagi menangani kesan akibat penularan kluster penyakit itu terhadap pekerjaan dalam sektor tertentu seperti pelancongan, beliau berkata kementerian sedang mengumpul maklumat mengenainya.

"Ia masih bersifat andaian. Hanya selepas pihak kesatuan sekerja dapat memberikan maklumat penuh melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso, kita akan dapat mengetahui berapa jumlah sebenar mereka yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Bertemu Pelanggan Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) di sini hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

Semalam, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata hampir 100,000 rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan jika COVID-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini.

Mengenai pekerja dalam sektor pelancongan yang terjejas berikutan COVID-19, Mahfuz berkata kementerian akan membantu mereka mencari peluang pekerjaan lain di luar bidang pelancongan.

"Semalam, kami didatangi oleh pemandu-pemandu bas pelancongan yang mengendalikan pelancong dari China yang mengadu mereka kini tiada pekerjaan dan pendapatan.

"Walaupun mereka tidak diberhentikan oleh majikan, tetapi kerana ketiadaan pelancong mereka tidak menerima bayaran daripada majikan," katanya.

Beliau berkata kementerian akan meneliti status pekerja terlibat selepas JTK mengadakan perbincangan dengan majikan untuk melihat perjanjian semasa mereka diambil kerja.

Selain itu, pada majlis sama, Mahfuz turut memaklumkan KWPSM bakal memperkenalkan Hab Pembelajaran dan Latihan KWPSM, sebuah pasaran dalam talian bagi syarikat membuat pilihan mengenai program latihan pekerja bersesuaian keperluan syarikat mereka.

-- BERNAMA