Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, akan berjumpa Paul Yong Choo Kiong bagi membincangkan isu keengganan Exco Perak itu bercuti walaupun dinasihatkan berbuat demikian susulan pertuduhan merogol pembantu rumah yang dihadapinya.

Perjumpaan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi merungkai segala permasalahan yang timbul.

Menurut Ahmad Faizal, beliau belum lagi dapat berjumpa Paul Yong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.

“Perkara itu masih dalam perbicaraan, saya tidak mahu komen tentang kes beliau tetapi berkenaan dengan pentadbiran, saya belum jumpa dia.

“Insya Allah, bila kita dah dapat berjumpa dengan dia nanti saya akan berbincang dan saya kira hal pentadbiran kerajaan negeri ini perlu kita titik beratkan. Insya Allah, kita akan rungkai apa juga masalah yang timbul,” katanya.

Beliau ditemui selepas perasmian Pusat Akuatik Tuanku Zara di Ipoh pada Sabtu yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.



Pada Jumaat, Paul Yong bertegas tidak akan bercuti walaupun sedang menghadapi dakwaan di mahkamah berhubung tuduhan merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Menurutnya, tidak ada sebab mengapa dia perlu mengambil cuti kerana menyifatkan dirinya bukan penjenayah.

Beliau akan terus menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri walaupun dinasihatkan bercuti oleh Ahmad Faizal.