Pihak berkuasa sudah mengenal pasti beberapa individu yang bertanggungjawab dan empat lokasi 'hotspots' yang membocorkan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh memaklumkan bahawa polis dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (SKMM) juga sudah mengenalpasti beberapa lokasi kebocoran itu berlaku.

“Saya telah dimaklumkan bahawa pasukan penyiasat telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai bertanggungjawab membocorkan kertas-kertas peperiksaan tersebut.

“Individu tidak bertanggungjawab ini telah mengkhianati rahsia negara untuk kepentingan mereka sendiri.

Hukuman yang paling berat harus dikenakan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada Jumaat.

Menurut Idris, hampir sejuta ibu bapa telah terjejas akibat pembocoran kertas-kertas soalan tersebut.

Kertas Peperiksaan Sains 018, 028, 038 bagi UPSR 2014 yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ditangguhkan pada 30 September kerana didapati bocor.

Menurut kenyataan media Lembaga Peperiksaan (LP) yang dikeluarkan hari ini, Pengarah Peperiksaan Dr Na'imah Ishak berkata siasatan awal mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.

Turut bocor ialah kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 (Kertas 1 dan 2).