PUTRAJAYA: Sebanyak RM30 juta yang diperuntukkan bagi Program Khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Masyarakat India (MISI) KESUMA-Mitra membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan masyarakat India.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) P. Prabakaran berkata MISI KESUMA-Mitra merupakan kerjasama antara Mitra dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) ke arah transformasi tenaga kerja mahir.

"Jumlah RM30 juta diletakkan di bawah Kesuma untuk mengadakan program MISI dengan Kesuma sumbang RM10 juta, Mitra (RM10 juta) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umum (semalam) bahawa Kementerian Kewangan sumbang RM10 juta," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Pejabat Pakatan Harapan (PH) yang disempurnakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil malam tadi.

Prabakaran berkata pengumuman Perdana Menteri itu membuktikan Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan kepada masalah serta usaha mentransformasikan masyarakat India.

Justeru, beliau berkata pihak tertentu yang membuat fitnah bahawa Kerajaan Perpaduan tidak ambil kisah masalah kaum itu adalah tidak benar sama sekali.

-- BERNAMA