Sebuah jawatankuasa bertindak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat perlu ditubuhkan bagi menangani masalah banjir yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau juga mahu satu pertemuan diadakan bersama Perdana Menteri bagi menyampaikan cadangannya itu sebelum mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Kit Siang berkata jawatankuasa yang diberi nama Majlis Tindakan Bersama Banjir antara BN dan Pakatan Rakyat dicadangkan dalam satu email yang dihantar kepada Najib semalam bersama beberapa cadangan lain.

"Sebelum jam 9 malam semalam, saya menulis satu email kepada Najib untuk mengajak beliau bermesyuarat sebelum mesyuarat kabinet hari Rabu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Antara cadangan lain yang disampaikan termasuk pengisytiharan darurat bencana, mengadakan sidang khas parlimen dan membentuk suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat punca banjir.

DAP juga mencadangkan supaya bantuan RM500 juta untuk pemulihan kawasan banjir digandakan.

Katanya, sidang parlimen itu juga boleh membincangkan keperluan agar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh ditangguhkan supaya tidak membebankan mangsa banjir.